Maritim Malaysia Siasat Insiden Bot Rempuh, SOP Keselamatan Bakal Dinilai Semula

KUALA NERANG, 28 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden perlanggaran bot di perairan Perlis yang mengorbankan seorang anggotanya bagi mengenal pasti punca kejadian dan menambah baik aspek keselamatan operasi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, siasatan yang dijangka mengambil masa beberapa minggu itu akan meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP), latihan, kelengkapan dan keselamatan anggota.

Beliau berkata, hasil siasatan akan menjadi asas kepada penilaian semula SOP sekiranya terdapat keperluan, selaras dengan usaha mencegah kejadian seumpama itu daripada berulang.

Maritim Malaysia turut memberi jaminan bahawa kebajikan keluarga Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, termasuk bantuan pendidikan kepada dua anaknya yang masih bersekolah, akan terus diberi perhatian.

Allahyarham maut ketika menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis, awal pagi Selasa. Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, Kuala Nerang, pada pukul 9.45 malam.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *