KERAJAAN PERTAHAN PERUNTUKAN PEMBANGUNAN LEBIH BESAR UNTUK SABAH, SARAWAK

KUALA LUMPUR, 27 OKTOBER 2026* – Kerajaan mempertahankan keputusan menyediakan peruntukan pembangunan lebih besar untuk Sabah dan Sarawak berdasarkan keperluan geografi, keadaan infrastruktur serta cabaran pembangunan yang dihadapi kedua-dua negeri berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan pembangunan di Sabah dan Sarawak perlu dinilai berdasarkan keadaan sebenar di lapangan, termasuk kawasan pedalaman yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas dan jaringan jalan raya yang baik.

Beliau memberikan contoh keadaan jalan raya di beberapa kawasan di Sabah yang masih teruk walaupun jumlah penduduk negeri itu lebih kecil berbanding negeri lain.

β€œJangan kita lihat dari segi kaca mata satu negeri, iaitu untuk kepentingan melayani Sabah dan Sarawak.

β€œTidak, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu mesti dilihat sebagai waad nasional. Kepentingan kita untuk menjaga kepentingan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menegaskan bahawa pelaksanaan MA63 tidak seharusnya dilihat sebagai usaha memenuhi kepentingan Sabah dan Sarawak semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab nasional yang perlu difahami dan disokong oleh seluruh rakyat Malaysia.

Pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara lebih seimbang, dengan mengambil kira keluasan wilayah, cabaran geografi, kos penyediaan infrastruktur dan keperluan penduduk di kawasan pedalaman.

PERUNTUKAN SABAH DAN SARAWAK TERUS MENINGKAT

Menerusi Belanjawan 2027, peruntukan Persekutuan untuk Sabah ditetapkan sebanyak RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion pada 2026, manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion pada tahun ini.

Kerajaan turut memperuntukkan RM3.3 bilion pada 2027 bagi meneruskan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak, termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo serta Sarawak-Sabah Link Road.

Selain itu, sebanyak RM350 juta disediakan bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan di kedua-dua negeri, khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.

Dalam aspek pelaksanaan MA63, kerajaan turut meningkatkan kadar interim Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak kepada RM1.5 bilion, dengan rundingan bersama kedua-dua kerajaan negeri diteruskan bagi memuktamadkan formula tahunan yang adil dan mampan.

Setakat pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa 12 perkara berkaitan MA63 telah dimuktamadkan di bawah Kerajaan MADANI. Antaranya termasuk penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak, pengambilalihan MASWings oleh Sarawak yang kini dikenali sebagai AirBorneo serta pewujudan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kerajaan juga terus memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur asas, kemudahan awam dan pertumbuhan ekonomi bagi memastikan penduduk Sabah dan Sarawak menikmati manfaat pembangunan secara lebih menyeluruh.

Penegasan Perdana Menteri itu mencerminkan pendirian kerajaan bahawa peruntukan pembangunan perlu mengambil kira keperluan sebenar setiap wilayah, selaras dengan semangat MA63 dan usaha memperkukuh kesejahteraan serta kesepaduan seluruh negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *