𝗠𝗔𝗥𝗜𝗧𝗜𝗠 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 – 𝗨𝗦𝗖𝗚 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗨𝗞𝗨𝗛 𝗣𝗘𝗠𝗕𝗔𝗡𝗚𝗨𝗡𝗔𝗡 𝗝𝗨𝗥𝗨𝗟𝗔𝗧𝗜𝗛 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗟𝗨𝗜 𝗜𝗡𝗦𝗧𝗥𝗨𝗖𝗧𝗢𝗥 𝗗𝗘𝗩𝗘𝗟𝗢𝗣𝗠𝗘𝗡𝗧 𝗖𝗢𝗨𝗥𝗦𝗘 𝗗𝗜 𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚

.
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟲 𝗙𝗲𝗯𝗿𝘂𝗮𝗿𝗶 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh keupayaan modal insan dan profesionalisme warga maritim menerusi penganjuran Instructor Development Course (IDC) dengan kerjasama Bureau of International Narcotics and Law Enforcement Affairs (INL) serta United States Coast Guard (USCG) yang berlangsung dari 2 hingga 6 Februari di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS).

Kursus berkenaan dianjurkan sebagai platform pembangunan latihan strategik bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia untuk menjadi jurulatih bertauliah pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh sistem latihan dalaman agensi agar lebih tersusun, berstandard tinggi dan berorientasikan keperluan operasi semasa.

Kursus IDC tersebut turut memberi peluang kepada peserta menimba ilmu dan pengalaman secara langsung daripada tenaga pengajar berkemahiran tinggi, selain meningkatkan tahap kompetensi dan kemahiran dalam aspek penyampaian latihan serta pengurusan modul latihan profesional.

Seramai 23 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Maritim Malaysia terlibat dalam kursus ini yang dibimbing oleh Senior Chief Shane Goudswaard, jurulatih USCG yang mempunyai kepakaran khusus dalam pembangunan kejurulatihan dan latihan maritim.

Menurut Maritim Malaysia, penganjuran kursus ini membawa manfaat besar dalam memperkukuh keupayaan latihan agensi melalui pembangunan tenaga pengajar yang berpengetahuan, berkemahiran dan bertauliah, sekali gus menyokong pelaksanaan tugasan penguatkuasaan maritim yang semakin mencabar.

Selain itu, kursus ini turut menjadi platform penting dalam pertukaran ilmu, kepakaran dan pengalaman serta amalan terbaik antarabangsa secara berterusan, selaras dengan keperluan operasi penguatkuasaan maritim yang bersifat rentas sempadan.

Selaras dengan kerangka Malaysia MADANI, pelaksanaan kursus kejurulatihan ini mencerminkan komitmen Maritim Malaysia dalam memperkasa pembangunan modal insan yang berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Maritim Malaysia menegaskan, kerjasama strategik bersama rakan antarabangsa seperti USCG akan terus diperkukuh bagi memastikan kesiapsiagaan agensi berada pada tahap tertinggi, seterusnya memperkasakan peranan sebagai salah satu benteng utama keselamatan perairan negara.

.

MaritimeNation

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *