Fahmi rasmikan Garis Panduan 6-WAY MOCN

Oleh: Sholina Osman
30 JAN. 2025

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyingkap lembaran baharu apabila merasmikan Garis Panduan Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur Telekomunikasi (6-WAY MOCN) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Bukit Putus Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dengan pelancaran bersimbolikkan menara telekomunikasi baharu, garis panduan ini bertujuan menetapkan prinsip, proses dan panduan bagi pelaksanaan Perkongsian Infrastruktur Rangkaian oleh Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO).

“MNO yang terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, TM, U-Mobile, YTL Communications dan Konsortium Jaringan Selangor adalah bagi menggalakkan kerjasama, mengoptimumkan sumber serta meningkatkan kesalinghubungan,” kata MCMC menerusi perkongsian di FB.

Turut hadir ke Majlis Pelancaran MOCN ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md bersama Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan.

PERJANJIAN BERSEJARAH INI

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Fahmi berkata, perjanjian bersejarah ini dimeterai pada Mei tahun lepas dan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan kerana syarikat telekomunikasi (telco) perlu membangunkan infrastruktur yang membolehkan mereka bekerjasama.

Beliau berkata, bahawa projek MOCN 4G 6 Hala, yang diterajui oleh MCMC adalah usaha perkongsian sumber rangkaian dan infrastruktur antara telco dalam meningkatkan kesalinghubungan, terutama di kawasan yang kurang mendapat liputan internet.

“Saya melontarkan cabaran kepada MCMC dan semua rakan-rakan telco, yang akhirnya pada Mei tahun lepas di Kuala Kubu Bharu, rakan-rakan telco telah menandatangi satu perjanjian persefahaman untuk mengusahakan satu perjanjian atau usahasama membolehkan apa yang dipanggil MOCN 4G 6 Hala,” katanya.

Fahmi berkata pelaksanaan itu bertujuan bagi meningkatkan kesalinghubungan terutamanya melibatkan kawasan kurang liputan Internet. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *