Hasil penjimatan subsidi PMX mula dikembalikan kepada rakyat

Oleh Noraini Nordin
(Sorotan berita)

Berikutan perlaksanaan subsidi bersasar diesel bermula 10 Jun lalu, Kerajaan Madani kini telah mula mengembalikan hasil daripada penjimatan itu kepada rakyat.

Langkah pertama ialah apabila Perdana Menteri, Datok Seri Anwar Ibrahim pagi semalam telah mengumumkan penurunan harga sebanyak 3 sen bagi sebiji telur.

Ini bermakna, harga baru bagi telur Gred A, B dan C bermula hari ini ialah 42 sen, 40 dan 38 sen sebiji.

Langkah menurunkan harga telur ini adalah langkah pertama dan dipercayai beberapa harga barangan keperluan lain tidak mustahil akan turut diturunkan selepas ini.

PENURUNAN BARANGAN

Akhirnya, apabila semakin banyak penurunan harga dilakukan, bermakna lebih banyak manafaat secara langsung dinikmati rakyat negara ini.

Selain itu, penjelasan Perdana Menteri bahawa subsidi diesel tidak dihapuskan di sebalik harganya di pasaran dinaikkan, haruslah juga difahami dengan jelas.

Sebenarnya subsidi diesel masih ada, cuma dilaksanakan dalam bentuk bersasar kepada mereka yang memerlukannya seperti kenderaan logistik mengangkut barangan, bas sekolah, bas awam dan golongan berpendapatan rendah.

“Apa yang kerajaan lakukan adalah untuk memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.

“Kerajaan masih lagi menanggung sekitar RM7 bilion setahun untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia, “ tegas Anwar.

Tujuan utama perlaksanaan dasar subsidi bersasar bagi diesel adalah untuk memastikan pembaziran subsidi tidak berlaku, sambil hasil daripada penjimatan dapat dipulangkan kepada rakyat.

Dalam kenyataannya, Anwar juga menjelaskan, hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini turut dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat.

Dalam waktu yang sama, Anwar menjelaskan, kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan meski harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890/mt.

“Sebagai contoh dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215/mt dan April RM4,256/mt, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga RM33-RM35,” katanya.

Ertinya, di sebalik ramai yang ‘bising-bising’ berkenaan isu diesel, memastikan rakyat terus menikmati kehidupan yang selesa tidak pernah diabaikan oleh kerajaan.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *