







12 November 2026
(Sorotan Khas PRN Melaka ke 16 – Apa Kerajaan MADANI bantu orang Melaka)
PAYA RUMPUT ( MELAKA)
– Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Paya Rumput, Datuk Azman Abidin menggariskan empat aspirasi utama bagi membawa pembangunan lebih menyeluruh kepada penduduk kawasan itu, dengan memberi tumpuan kepada isu infrastruktur, ekonomi tempatan, kebajikan perumahan dan peluang masa depan anak muda.
Menerusi manifesto bertemakan Aspirasi Paya Rumput – Demi Paya Rumput Yang Lebih Baik, Azman mengetengahkan agenda yang menyasarkan keperluan harian masyarakat serta usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
Aspirasi pertama memberi penekanan kepada usaha memastikan jalan raya lebih lancar dan kawasan lebih selamat, khususnya menerusi penyelesaian masalah banjir, kesesakan lalu lintas serta keselamatan jalan raya.
Usaha itu akan digerakkan melalui penyelarasan dengan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian terhadap isu infrastruktur yang memberi kesan kepada kehidupan penduduk.
MEMPERLUASKAN PELUANG PENIAGA KECIL
Aspirasi kedua pula memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi rakyat dengan memperluas peluang kepada peniaga kecil dan usahawan tempatan.
Antara pendekatan yang digariskan termasuk meningkatkan akses kepada pembiayaan, latihan keusahawanan, pemasaran dan pendigitalan bagi membantu usahawan meningkatkan daya saing serta mengembangkan perniagaan.
Dalam aspek kesejahteraan masyarakat, aspirasi ketiga menekankan kepentingan menyediakan kediaman yang lebih selesa dan memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
Ia merangkumi perhatian terhadap isu perumahan, kemudahan kejiranan, kebersihan dan penyelenggaraan kawasan perumahan, selain bantuan pembaikan rumah kepada keluarga yang layak.
Sementara itu, pembangunan golongan muda menjadi fokus aspirasi keempat menerusi usaha memperluas akses kepada pendidikan, latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kemahiran industri serta peluang pekerjaan.
Pendekatan itu bertujuan membantu anak muda Paya Rumput melengkapkan diri dengan kemahiran bersesuaian bagi memenuhi keperluan industri dan pasaran pekerjaan.
Secara keseluruhannya, empat aspirasi tersebut merangkumi aspek pembangunan fizikal dan kesejahteraan sosial, selain memberi perhatian kepada peluang ekonomi serta pembangunan modal insan.
Manifesto berkenaan meletakkan penyelesaian isu setempat, pemerkasaan usahawan, kebajikan perumahan dan pembangunan anak muda sebagai antara agenda yang diketengahkan Azman untuk masa depan Paya Rumput.
