
KOTA BHARU, 31 Oktober – Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan RM250 juta bagi pembangunan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) sebagai langkah menaik taraf infrastruktur pengangkutan awam di Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan mendesak untuk menyediakan terminal bas yang lebih selesa, moden dan selaras dengan pembangunan kemudahan pengangkutan lain termasuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
Beliau berkata, surat kelulusan projek berkenaan telah dihantar kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Pengumuman itu dibuat ketika Program Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat 2026 di Dataran Muhammadi, yang menghimpunkan lebih 3,000 masyarakat setempat.
Dalam program sama, sumbangan turut diserahkan kepada 41 institusi pendidikan Islam serta pelancaran inisiatif bantuan komputer riba kepada golongan asnaf.
Projek KB Sentral mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI memperkukuh kemudahan infrastruktur dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam demi kesejahteraan rakyat Kelantan.
