

12 Mei 2026
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang menahan sebuah kapal korek yang dikesan membawa muatan pasir berlebihan hasil maklumat risikan di perairan Tanjung Tokong, lewat malam semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kapal tersebut ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang berlabuh pada kedudukan kira-kira 1.0 batu nautika timur laut Tanjung Tokong sekitar pukul 11.30 malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal yang dikendalikan 17 kru warga asing berusia 32 hingga 52 tahun itu bukan sahaja membawa muatan melebihi kapasiti malah terdapat individu di atas kapal yang tidak tersenarai dalam senarai kru rasmi,” jelas beliau dalam kenyataan dipetik dari Facebook APMM.
Muhammad Suffi berkata pemeriksaan ke atas kru kapal berkenaan melibatkan warga Indonesia dan China berusia antara 32 hingga 52 tahun mendapati beberapa orang daripada mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Selain itu jelas beliau, mereka disyaki memasuki Malaysia tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan sekali gus dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tambah beliau, semasa pemeriksaan dijalankan turut berlaku cubaan memberi suapan kepada penjawat awam serta cubaan menghalang pihak berkuasa daripada menjalankan tugas rasmi.
Berikutan itu, 10 daripada 17 kru kapal tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta SPRM 2009 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Pihak APMM akan terus komited dalam penguatkuasaan undang-undang maritim demi kesejahteraan perairan negara,” tegas
Muhammad Suffi.
