














Royal Belum, Perak – 22 Januari 2025 – Slogan “Rakyat di Hati JPN dan JPN Dimana-mana” hari ini membawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) jauh ke Kampung Sungai Kejar dan Kampung Sungai Tiang dalam usaha memastikan hak rakyat mendapat pengenalan diri yang sah.
Lokasi ini dipilih kerana terdapat lebih kurang 52 penduduk kampung yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran kerana lokasinya yang terletak jauh di pedalaman, tanpa akses jalan darat yang mudah menuju ke JPN terdekat di Grik, Perak.
Melalui pendekatan ‘JPN Meredah Hutan Belantara’ JPN berjaya membawa perkhidmatan terus ke komuniti Orang Asli, sekali gus mengurangkan beban perjalanan jauh dan kos yang tinggi untuk ke JPN.
Program ini melibatkan Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Perak dan juga Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak.
Petugas-petugas yang turun, turut merasai cabaran yang dihadapi petugas JPN yang sanggup mengharungi sungai, meredah hutan, dan menghadapi pelbagai kesulitan demi memastikan setiap rakyat Malaysia, khususnya komuniti Orang Asli, memperoleh dokumen pengenalan diri yang sah.
MENYUSURI SUNGAI
Tempoh perjalanan ke dua lokasi berkenaan memakan masa hampir dua jam, menyusuri sungai dan meredah hutan.
Selain kesukaran komunikasi, faktor seperti risiko serangan binatang buas, cuaca tidak menentu, dan risiko kerosakan bot juga menjadi cabaran utama bagi petugas.
Namun, komitmen mereka dalam memastikan hak komuniti ini tidak terabai, tetap menjadi dorongan utama.
Kerjasama antara JPN dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang mengenali selok-belok kawasan setempat, membantu melancarkan perjalanan dan urusan program ini.
Program ‘JPN Meredah Hutan Belantara ini bagi menyerahkan kad pengenalam diri, dan Sijil Kelahiran.
Ketua Pengarah JPN, YBhg . Dato’ Badrul Hisham Alias telah menyempurnakan penyerahan dokumen pengenalan diri kepada 29 penerima MyKad , 17 penerima MyKID dan 6 penerima Sijiil Kelahiran.
PROGRAM MEKAR
Program ini adalah hasil kerjasama antara Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak.
Program MEKAR yang dilaksanakan telah memberikan manfaat besar kepada rakyat, terutamanya dalam menyelesaikan isu berkaitan pendaftaran dokumen pengenalan diri.
Selaras dengan Nilai Teras Malaysia MADANI yang keenam, iaitu ihsan, yang berlandaskan rasa keprihatinan terhadap penderitaan dan kesulitan orang lain, JPN bertekad bersama-sama memainkan peranan untuk memastikan komuniti Orang Asli tidak tercicir daripada menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan melalui program MEKAR yang berfokus seperti Kaunter di Hutan Belantara.
Sumber – JPN
