
PUTRAJAYA, 15 Oktober 2026 – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah menerusi beberapa operasi penguatkuasaan dari 26 September hingga 12 Oktober 2026, melibatkan sitaan pelbagai jenis dadah seberat 1,194.56 kilogram dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM161.67 juta.
𝗞𝗘𝗦 𝟭 – 𝗦𝗜𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗧𝗛𝗔𝗠𝗣𝗛𝗘𝗧𝗔𝗠𝗜𝗡𝗘 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗔𝗡𝗚𝗚𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗡𝗜𝗟𝗔𝗜 𝗞𝗘𝗦𝗘𝗟𝗨𝗥𝗨𝗛𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗝𝗨𝗠𝗟𝗔𝗛 𝗥𝗠𝟭𝟰.𝟲𝟴 𝗝𝗨𝗧𝗔
Pada 26 September 2026, bertindak atas maklumat risikan, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan telah menjalankan pemeriksaan ke atas 16 kotak yang diikrarkan sebagai Non-Dangerous Goods di Bay Eksport Post Aviation, Kargo Village, KLIA, Sepang, Selangor.
Hasil pemeriksaan mendapati 12 kotak mengandungi 285 bungkusan plastik berisi serbuk kristal berwarna putih yang disyaki dadah jenis Methamphetamine, dengan anggaran berat sebanyak 293.60 kilogram dan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM14.68 juta.
𝗞𝗘𝗦 𝟮 – 𝗦𝗜𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗚𝗔𝗡𝗝𝗔 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗔𝗡𝗚𝗚𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗡𝗜𝗟𝗔𝗜 𝗞𝗘𝗦𝗘𝗟𝗨𝗥𝗨𝗛𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗝𝗨𝗠𝗟𝗔𝗛 𝗥𝗠𝟵𝟵,𝟬𝟬𝟬
Pada 1 Oktober 2026, bertindak atas maklumat risikan, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan di kawasan persisiran Sungai Perlis, Perlis.
Hasil pemeriksaan menemukan dua (2) guni di bawah jeti haram terbiar berhampiran Jalan Dato Ali, Sungai Perlis. Pemeriksaan lanjut mendapati guni tersebut mengandungi ketulan mampat yang disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat sebanyak 33.00 kilogram dan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM99,000.
𝗞𝗘𝗦 𝟯 – 𝗦𝗜𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗧𝗛𝗔𝗠𝗣𝗛𝗘𝗧𝗔𝗠𝗜𝗡𝗘 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗔𝗡𝗚𝗚𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗡𝗜𝗟𝗔𝗜 𝗞𝗘𝗦𝗘𝗟𝗨𝗥𝗨𝗛𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗝𝗨𝗠𝗟𝗔𝗛 𝗥𝗠𝟮𝟯.𝟬𝟮 𝗝𝗨𝗧𝗔
Pada 10 Oktober 2026, bertindak atas maklumat risikan, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Perlis telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pondok di kawasan perkuburan Siam Jejawi, Arau, Perlis.
Hasil pemeriksaan menemukan 17 kotak berwarna coklat yang ditinggalkan di dalam pondok berkenaan. Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 228 bungkusan pelbagai warna yang disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat sebanyak 460.31 kilogram dan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM23,015,500.
𝗞𝗘𝗦 𝟰 – 𝗦𝗜𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗛𝗘𝗥𝗢𝗜𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗢𝗞𝗔𝗜𝗡 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗔𝗡𝗚𝗚𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗡𝗜𝗟𝗔𝗜 𝗞𝗘𝗦𝗘𝗟𝗨𝗥𝗨𝗛𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗝𝗨𝗠𝗟𝗔𝗛 𝗥𝗠𝟭𝟮𝟯.𝟴𝟳 𝗝𝗨𝗧𝗔
Pada 12 Oktober 2026, Cawangan Narkotik, JKDM Ibu Pejabat telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kotak kayu yang diikrarkan mengandungi Hande Screw Air Compressor di Post Acceptant Advance Cargo Centre, Bangunan MASKargo, KLIA, Sepang, Selangor.
Hasil pemeriksaan menemukan sebuah kompresor yang mengandungi karung-karung guni berisi serbuk putih yang disyaki dadah jenis Heroin seberat 161 kilogram dan Cocaine seberat 246.65 kilogram. Anggaran nilai keseluruhan dadah yang disita berjumlah RM123,872,500.
𝗞𝗢𝗠𝗣𝗘𝗧𝗘𝗡 • 𝗜𝗡𝗧𝗘𝗚𝗥𝗜𝗧𝗜 • 𝗧𝗘𝗚𝗔𝗦
